Wednesday 3 December 2008

Mana Aci... Nak Menang Dia Aje

Seorang pemimpin no 2 sebuah parti politik dalam kerajaan pemerintah memaklumkan bahawa dia tidak bermaksud untuk menyinggung orang Melayu apabila menolak konsep 'Ketuanan Melayu' kerana konsep 'ketuanan melayu' itu merujuk bahawa orang Melayu itu 'Tuan', dan orang lain (kaum lain) itu 'hamba'. Beliau sebaliknya hanya menerima konsep 'Kepimpinan Melayu' sahaja dalam sistem pemerintahan Malaysia masa kini. Beliau juga meminta orang ramai supaya mentafsir pandangannya itu mengikut konteks ucapannya yang penuh, selain meminta orang Melayu agar memahami berita-berita yang ditulis dalam suratkhabar aliran cina, kerana baginya suratkhabar cina ini lebih tepat dalam membuat petikan dan menilai ucapan beliau.

Cetusan Rasa MindaPolitik:
Inilah susahnya kalau tidak mahu memahami fakta sejarah yang sebenar-benarnya dan memahami makna dalam Bahasa Melayu. Istilah 'Ketuanan Melayu' dalam konteks sejarah sebenarnya merujuk kepada kepemimpinan Kesultanan Melayu sejak berkurun lamanya di nusantara ini, selain memperlihatkan kedaulatan bangsa Melayu itu sendiri. Malah tidak pernah sekali-kali orang Melayu menganggap orang lain (kaum lain) itu hamba kepada mereka kerana sifat orang Melayu itu sendiri amat menghormati orang lain. Apa yang peliknya pula, apabila pemimpin no 2 itu 'menyuruh' orang lain (selain daripada kaumnya) supaya melihat isu itu melalui suratkhabar cina, tetapi apabila isu Datuk Ahmad Ismail, pemimpin parti orang Melayu di satu bahagian di Pulau Pinang menyampaikan fakta sejarah yang sebenarnya, kenapa beliau tidak meminta semua pembaca melihat daripada perspektif suratkhabar Melayu (malah diboikotnya pula), sebaliknya suratkhabar cina beriya-iya memainkan isu tersebut. Mana aci...
MindaPolitik puji pemimpin ini kerana boleh dikategori fasih berbahasa Melayu, namun janganlah kerana hendak memenangi semula hati pemimpin no 1 partinya terpaksa membuat kenyataan yang telah menyinggung hati bangsa Melayu.... walaupun itu bukan maksudnya (katanyalah...dalam hati siapa tahu...)

Monday 1 December 2008

Pandangan Mukhiz... Satu cetusan menarik

Pandangan yang dicetuskan oleh Dato' Mukhiz Mahatihr (DMM) satu cetusan idea yang menarik dan perlu difikirkan dalam konteks yang lebih luas dan rasional. DMM mencadangkan agar satu bahasa pengantar (sudah tentu Bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar utama bagi semua subjek (kecuali Sains Matematik) di sekolah seluruh negara.
Cetusan Rasa MINDAPOLITIK:
Sistem pendidikan satu aliran merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada konflik kebobrokan perpaduan kaum di negara kita akhir-akhir ini. Sememangnya, sistem pendidikan vernakular merupakan peninggalan 'virus' oleh bangsa penjajah Inggeris sejak beratus-ratus tahun dahulu. Walaupun, sistem vernakular itu mampu disuntik dengan 'ubat pelali' atau 'penahan sakit' Penyata Razak, Laporan Kabinet dan Akta Pendidikan, namun sampai bila 'ubat pelali dan penahan sakit' itu dapat melawan 'virus' yang ditinggalkan di dalam sistem pendidikan negara. Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini bukan ramai yang ingin menyumbangkan 'ubat pelali atau penahan sakit' tambahan, melainkan ditambah lagi dengan pelbagai 'virus' chauvinis, perkauman, kepuakan, dan entah apa-apa lagi 'virus' untuk melemahkan sistem pendidikan negara. Salah satu 'virus' yang cuba dilepaskan ialah saranan oleh seorang ahli politik terkenal agar DMM dikenakan tindakan menghasut kerana mengeluarkan cadangan tersebut. Ini menunjukkan bahawa masih ramai ahli politik kita yang mempunyai pemikiran ala-penjajah kerana masih memperjuangkan konsep 'pecah dan perintah' melalui fahaman perkauman.

SELAMAT DATANG KE MINDAPOLITIK

Salam untuk semua. Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan. MindaPolitik memasuki ruang siber blog untuk berkongsi idea dan cetusan rasa mengenai dunia politik negara sama ada politik ke'parti'an, politik ke'bangsa'an atau politik ke'negara'an. Di samping itu, MindaPolitik turut memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk berkongsi idea dan mencetus rasa berkenaan dunia politik di sekeliling kita. Tapi ingat! perkongsian idea dan cetusan rasa mestilah berpaksikan fakta sahih yang benar, tidak mengkeji atau menghina, apatah lagi boleh mencetuskan ketenteraman, keamanan, keharmonian dan keselamatan agama, bangsa dan negara. Jadi sebarang perkongsian idea dan cetusan rasa ke arah 'mirip' itu pun tidak akan dilayan dan tidak dianggap perkongsian idea dan cetusan rasa MindaPolitik. Biar kita berMindaPolitik di alam MindaPolitik secara aman dan harmoni serta bermaklumat. Sekian, perkongsian idea dan cetusan rasa pertama daripada MINDAPOLITIK.